sejauh ku melangkah

semakin jauh ku melangkah..semakin banyak cabaran mendatang

GALAKAN SOLAT FARDHU SECARA BERJEMAAH


Ramai dikalangan kita yang terlepas pandang akan kepentingan dan keuntungan bagi mereka yang mengerjakan solat secara berjemaah.Ada yang dimindanya sudah disetkan bahawa cukup sekadar aku bersolat secara sendirian...yang penting solat maka tertunailah kewajipan rukun islam yang kedua.

Tahukah Anda....Jika anda solat secara berjemaah...

Anda akan mendapat pahala seperti membuat haji
Anda akan membuat sedekah bagi setiap langkah ke masjid
Anda akan mendapat ganjaran berganda 27 lebih dari solat sendirian
Anda telah menggerunkan yahudi dan kafir
Anda telah menghidupkan rukun tetangga dalam bermasyarakat
Anda telah menghidupkan syiar Islam...Kesatuan Ummah
Anda dapat meneutralkan cas elektrik pada tubuh anda


Dan pelbagai lagi perkara yang menjanjikan kebaikan pada diri anda jika anda solat berjemaah.

Dan Tahukah Anda...Jika anda meninggalkan solat berjemaah...

Anda telah meninggalkan cara solat Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam
Anda telah melayakkan rumah anda untuk dibakar
Anda telah meletakkan sikap anda sama seperti orang munafik
Anda telah menyebabkan solat anda tidak dikira...kerana tidak menyahut seruan azan
Anda telah menghilangkan semangat bermasyarakat

Dan pelbagai lagi perkara yang menjanjikan kerugian pada diri anda jika anda meninggalkan solat berjamaah.

BUKTINYA...

1) Tidak dikira solatnya.

Sabda Rasulullah:
" من سمع النداء فلم يأتي ، فلا صلاة له الا من عذر "

Yang bermaksud: " Barangsiapa yang telah mendengar azan kemudian tidak mendatangi (ke masjid) , maka tiada solat baginya kecuali bagi siapa yang uzur "
( HR Muslim).
Ibnu Abbas menerangkan ketika ditanya mengenai yang dimaksudkan dengan uzur di dalam hadith ialah takut (ada perkara yang menghalanginya) dan sakit.

2) Tiada kelonggaran walau bagi seorang yang buta.

Di dalam hadith sahih yang lain diriwayatkan oleh Imam Muslim ketika Rasulullah ditanya oleh seorang buta yang meminta diberikan kelonggaran untuk tidak solat berjemaah kerana tiada orang yang boleh membawanya ke masjid lalu Rasulullah bertanya padanya :
" هل تسمع النداء بالصلاة؟ " , قال: نعم , قال: " فأجب".
Yang bermaksud : " Adakah kau mendengar seruan untuk bersolat (azan) ? , Berkata Si Buta: " ya " , Sabda Rasulullah : " Maka sahutlah " (seruan azan itu).

3) Layak dibakar rumahnya:

Di dalam Musnad Imam Ahmad ada sebuah hadith perihal mengenai orang yang tidak bersolat berjemaah, maka Rasulullah bersabda :

" لو لا ما في البيوت من النساء والذرية لحرقتها عليهم "
Yang bermaksud: " Kalaulah tiada di dalam rumah-rumah tersebut (rumah orang yang tidak solat berjemaah) orang-orang perempuan (isteri mereka) dan zuriat (anak) akan Aku bakar rumah mereka ".

4) Disifatkan sebagai Munafik.

Sabda Rasulullah :
" لقد رأيتنا وما يتخلف عن الصلاة الا منافق قد علم نفاقه , أو مريض "
Yang bermaksud: Telahpun kami melihat orang yang tidak bercanggah dari solat (solat berjemaah) melainkan orang munafik yang diketahui (jelas) kemunafikannya, ataupun orang yang sakit ".(HR Muslim)

Firman Allah Taala:

" ان المنافقين يخادعون الله وهو خادعهم واذا قاموا الى الصلوة قاموا كسالى يراءون الناس ولا يذكرون الله الا قليلا " *
Yang bermaksud: " Sesungguhnya orang munafik itu hendak memperdayakan Allah, tetapi Allah-lah yang memperdayakan mereka.Apabila mereka bangun berdiri untuk solat mereka tunaikan dengan malas.Mereka bermaksud riya' di hadapan manusia.Dan mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit sekali ". (an-Nisa' :142)

Jadi Sahabat-sahabat sekalian...

Marilah kita bersama mewujudkan masyarakat yang cintakan pada masjid.Kita mulakannya pada diri kita terlebih dahulu.
Hayatilah ayat-ayat Quran dan Hadith-hadith yang memberi galakan dan suntikan untuk kita melazimi solat secara berjemaah



Firman Allah Taala:
وأقيموا الصلاة وءاتوا الزكوة واركعوا مع الراكعين *

Yang bermaksud: "Dirikanlah kamu akan solat dan tunaikanlah kamu akan zakat dan rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk (Al-Baqarah:43)

Jelas ayat di atas menyuruh kita rukuk bersama orang-orang yang rukuk iaitu secara berjamaah kerana sekadar melaksanakan ayat yang awal sahaja (Dirikanlah kamu akan solat) tidak memadai kecuali bersama ayat terakhir (rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk) bagi melengkapkan suruhan ayat di atas.

Di dalam ayat yang lain :
" واذا كنت فيهم فأقمت لهم الصلاة فلتقم طائفة منهم معك وليأخذوا أسلحتهم فاذا سجدوا فليكونوا من ورائكم ولتأت طائفة أخرى لم يصلوا فليصلوا معك وليأخذوا حذرهم وأسلحتهم...الأية "

Yang bermaksud: " Dan apabila engkau (Muhammad) berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu engkau hendak melaksanakan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah sekumpulan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata mereka, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat) maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh), dan hendaklah datang kumpulan yang lain yang belum solat, lalu mereka bersolat denganmu, dan hendaklah mereka bersiap siaga dan menyandang senjata mereka...." (an-Nisa' :102)

Di dalam ayat ini juga jelas kepada kita bagaimana Allah Taala mengajar Rasulullah cara untuk bersolat ketika di dalam peperangan.Ya...walaupun ketika sedang bertempur apabila telah masuk waktu solat, kita wajib menunaikannya....bukan sekadar menunaikannya bahkan secara berjemaah ! ! !
Jadi wajarkah kita untuk solat bersendirian dalam waktu tenang?

Di dalam hadith:

" صلاة الجماعة تفضل صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة "

Yang bermaksud: " Solat secara berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian sebanyak 27 darjat ".(HR al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadith yang lain:
" من خرج من بيته متطهرا الى صلاة مكتوبة فأجره كأجر الحاج المحرم "

Yang bermaksud: " Barangsiapa yang keluar dari rumahnya (ke masjid) dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat fardhu, pahalanya ibarat pahala orang yang membuat haji dengan ihramnya ". (HR Abu Daud; Hasan)

" وكل خطوة تمشيها الى الصلاة صدقة "

Yang bermaksud: " Dan setiap langkah menuju untuk bersolat (berjemaah) adalah sedekah ".(HR Buhkari, Muslim)

" صلوا كما رأيتموني أصلي"

Yang bermaksud: " Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat (cara) aku bersolat ".(HR Bukhari, Muslim)
Dan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam tidak pernah solat fardhu secara bersendirian.

Sama-samalah kita menjaga solat fardhu kita berjemaah, kita hidupkan suasana ini, mulakan pada diri kita, keluarga, seterusnya masyarakat.

Artikel ini ditulis supaya Penulis sendiri lebih menjaga solat berjemaahnya.

0 ulasan: