sejauh ku melangkah

semakin jauh ku melangkah..semakin banyak cabaran mendatang

Sekalung Tahniah Buat Akhi Badrul



Tahniah buat Akhi Tuan Badrul Hisyam dan Isteri dengan kelahiran baby yang comel ni. Tuan Ilham binti Tuan Badrul Hisyam dilahirkan pada 11 April 09 di Pasir Puteh, Kelantan ye. Gambar ni 'pinjam' kat mana tah..hehehehe..ikhwah - ikhwah di Madinah ni tumpang seronok dan turut berdebar - debar menanti kelahiran 'anak menakan' sulung ni. Comel macam ayahnya jugak. Mudah - mudahan Allah swt sentiasa melimpahi rahmat ke atas akhi sekeluarga.

Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis


Aman Palestin Berhad dan Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA )


KONVENSYEN BERAKHIRNYA AGENDA ZIONIS


Dewan Merdeka,
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)


9 Mei 2009
11 Jamadil Awwal 1430


8.00 Pagi - 5.00 Petang


Yuran RM 10


Lawati http://www.kbaz.net/ untuk keterangan lanjut.


Musibah Dan Ujian 2..

Sambungan..

Perjalanan ziarah hari itu sedikit sebanyak membangkitkan kembali semangat untuk teruskan pengembaraan. Selepas ziarah Acai terus jemput aku di hotel dan pergi ke Pejabat Penyediaan Jenazah di Perkuburan Baqi’. TYT Duta dan ahli keluarga sudah sedia menunggu jenazah dimandikan dan akan dihantar ke Masjid Nabawi untuk disembahyangkan lepas solat jumaat. 4 jenazah rakyat malaysia yang meninggal selamat dikebumikan selepas solat jumaat diiringi oleh ahli keluarga dan juga pelajar – pelajar yang turut sama menyertai perjalanan terakhir mereka. Hadis Rasulullah saw ada menyebut yang maksudnya : “Barangsiapa di kalangan umatku yang mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku menjanjikan syafaat padanya pada hari kiamat kelak”. Makcik Noraini yang kehilangan suaminya aku lihat cukup tenang dan tabah. Sesekali dia tanyakan pada aku “ apa yang berlaku ni musibah ke ujian dik?” Baginya walaupun ini satu musibah, tetapi tetap bersyukur suaminya akan terus tinggal di Madinah ini dan mendapat apa yang dijanjikan oleh Baginda Rasulullah saw. Alhamdulillah mereka ini sangat tabah dan menerima apa yang berlaku. Apa yang berlaku memang satu musibah dan ujian, tetapi ujian yang mereka terima memang berat dan susah untuk diterima. Tetapi kami selalu ingatkan bahawa mereka sebenarnya beruntung kerana Allah menguji mereka di Madinah. Orang akan berkata bahawa mereka ini mungkin telah melakukan sesuatu dosa dan sebagainya, dan ujian ini sebagai muhasabah bagi mereka dan jika mereka bersabar ada ganjaran yang besar untuk mereka.

Setiap kata aku susun dan atur supaya tidak mengguris hati mereka. Ingatan bahawa ujian yang ditimpakan oleh Allah ini bukan kerana bencinya Allah pada kita, tetapi betapa sayangnya Allah pada hambanya. Sememangnya sebagai satu muhasabah untuk diri mereka dan juga aku atas dosa – dosa lalu yang disedari atau tidak, namun ujian ini juga banyak hikmahnya dan menjadi satu anjakan untuk mereka menyedari akan kasih sayang Allah. Hari – hari yang berlalu aku bersama – sama dengan mereka dan membantu apa yang patut. Semakin hari, mereka semakin tenang dan mula melupakan seketika peristiwa hitam yang berlaku.

Hari ke 5, jenazah seorang warga Indonesia yang turut terkorban masih belum dikebumikan. Datin Natasya(kami panggil kak Natasya) yang menjadi teman rapat arwah Elli Sudarta Jamaluddin agak gelabah kerana panggilan ahli keluarga yang tak henti – henti bertanya. Jenazah ini lewat diuruskan kerana Konsulat Indonesia masih bercuti akibat daripada pilihanraya yang berlaku di Indonesia. Pagi – pagi lepas subuh kak Natasya telefon aku minta tolong tengokkan jenazah dan tolong selesaikan. Kenapa aku yang disuruhnya?..Aku pun tak pasti keadaan sebenar, tetapi Ustaz Roslan (ketua rombongan) maklumkan pihak muassasah akan uruskan jenazah tersebut. Petang ahad Ustaz Roslan panggil aku ke hotel kerana pihak muassasah minta untuk melihat jenazah dan mengikut ke perkuburan. Pihak muassasah memaklumkan jenazah dah dibawa ke tempat pengurusan lepas zohor hari itu, Cuma perlu sedikit masa kerana jenazah diliputi ais yang keras akibat lamanya diletak dalam peti ais. Kami terus ke tempat pengurusan jenazah bersama Kak Natasya untuk melihat dan membantu apa yang patut. Apabila sampai di situ, pegawai yang bertugas mengatakan jenazah akan dimandikan juga sebelum maghrib dan dikebumikan selepas solat. Hanya aku, Salam dan Kak Natasya sahaja ‘ahli keluarga’ jenazah yang ada disitu.

Pegawai meminta kami untuk mengangkat jenazah yang masih dibungkus dengan plastik hitam untuk diletakkan di atas ‘palong’ atau tempat mandi jenazah. Masa itulah kami dapat rasakan kerasnya mayat ini akibat dari terlalu lama diletakkan dalam peti ais. Kami menunggu sehingga selesai dimandi dan dikafankan jenazah dan menghantarnya ke masjid untuk disolatkan.

Selesai solat maghrib, aku dan Salam bergegas ke perkuburan Baqi untuk mengiringi perjalanan terakhir jenazah. Inilah pertama kali kami melihat dan memasuki Baqi untuk mengebumikan jenazah. Apabila sampai di kubur yang dah digali, orang ramai disitu bertanyakan dimana ahli keluarga jenazah ini. Mulanya aku mendiamkan diri, namun akhirnya aku mengakui yang aku ahli keluarga beliau kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya kecuali aku dan Salam yang menemaninya. Mereka meminta aku untuk masuk ke dalam liang untuk menyambut jenazah. Tiba – tiba Perasaan sayu menyelubungi apabila jenazah diturunkan ke liang, air mata mengalir walaupun aku sendiri tidak mengenali arwah dan tidak pernah tahu bagaimana wajahnya yang sebenar. Tidak ada saudara, tidak ada anak – anak yang mengiringi perjalanan terakhir beliau. Tetapi apabila dikenangkan bahawa arwah sangat bertuah di tempatkan di sini, kami kembali tersenyum. Bagaimana pula kami masa akan datang? Mudah – mudahan Allah swt mengampunkan dosa kami dan dosa mereka yang telah pergi serta menempatkan mereka bersama orang – orang yang soleh. Selesai pengkebumian kami kembali ke hotel menghantar Kak Natasya dan pulang ke Universiti. Sepanjang malam aku teringatkan jenazah tadi dan hidung seolah – olah masih lekat dengan kapur barus dari jenazah. Bukan ketakutan yang aku ingatkan, tetapi perjalanan yang di atur oleh Allah swt buat hambanya yang terpilih. Bagaimanakah aku satu masa nanti? Aku mendoakan mudah – mudahan dikurniakan Husnul Khatimah di akhir hayat aku.

13 hb April hari terakhir jemaah ini berada di Madinah. Pukul 10 pagi mereka sudah berkumpul di lobi hotel untuk berangkat ke Mekah. 3 buah GMC dah ditempah untuk membawa jemaah ke Mekah. Orang arab pun kadang – kadang kalau berjanji lagi teruk dari orang melayu. Hampir 10.30 baru 2 buah GMC dipandu oleh orang Saudi sampai. GMC yang ketiga masih belum kelihatan. Aku meminta 2 GMC ni untuk tunggu sehingga GMC ketiga sampai supaya sama – sama bergerak ke Meeqat Zulhulaifah. Hari itu pula banyak sangat polis – polis trafik bersiaran di kawasan Haram (Masjid Nabawi). Kerana terlalu lama menunggu di depan hotel, polis mengarahkan mereka bergerak kerana tidak dibenarkan parkir di hadapan hotel. Tetapi bila melihatkan ada jemaah umrah di dalam GMC, polis bertanyakan kepada 2 pemandu tersebut tentang permit untuk membawa penumpang. Rupanya mereka ini tidak mempunyai permit untuk membawa penumpang, syarikat yang kami bayar untuk pengangkutan hanya ‘cekup’ saja GMC yang lawa – lawa untuk disewa. Akhirnya mereka disaman dan katanya SR 500 setiap seorang. Arab ni mula marah – marah kat aku kerana disebabkan aku mereka disaman. Kami mula bergerak ke Meeqat untuk berniat umrah.

Di Meeqat perkara lain pula yang berlaku. 2 drebar arab ni dah berpakat meminta kami membayar seorang SR 500 untuk menjelaskan saman, 2 orang jadi SR 1000 la. Jika tidak dijelaskan beg – beg akan di keluarkan dan mereka akan pulang tanpa membawa jemaah ke Mekah. Suasana tegang seketika apabila aku mula melenting, langsung tidak ada sifat ihsan terhadap tetamu yang datang dan hanya mementingkan diri dan wang. Baginya aku yang salah dan telah mengadukan kepada bos syarikat dengan mengatakan aku yang salah dan keluarkan kata kesat pada mereka. Jemaah menjadi saksi yang aku langsung tidak mengeluarkan kata kesat pada mereka yang berumur lingkungan 40-an itu.

Betapa buruknya akhlak bangsa yang dipilih Allah untuk tinggal di Madinah ini. Rasulullah mendidik para sahabat dan mentarbiah sahabat sehingga menjadi khalifah dan ketua tentera yang hebat hanya bermula dengan akhlak dan budi bahasa. Rasulullah tidak tinggalkan di Madinah ini kota – kota yang besar dan hebat, bangunan – bangunan tinggi seperti di Andalus, Istanbul, hanya yang tinggal ialah tiang – tiang bangunan yang hampir runtuh, batu – batu keras dan tanah yang gersang. Namun tinggalan Rasulullah ialah akhlak, ilmu dan juga generasi – generasi yang mampu dan telah pun membuktikan kehebatan dengan menumpaskan kerajaan Rom yang hebat, kerajaan Parsi yang penuh dengan kota – kota yang hebat. Tetapi sekarang, manusia – manusia yang tinggal di bumi Nabi ini tidak sedikit pun mewarisi semua itu. Aku pun hairan kenapakah mereka ini tidak mewarisi semua ini. Yang ada hanya lah kesombongan dan keangkuhan dengan kereta dan rumah yang besar, menunjuk – nunjuk pada tetamu akhlak yang tidak elok. Pada aku setiap perkara yang dibuat lansung tidak mempunyai adab dan akhlak. Memandu, makan, berurusan dan setiap segi menunjukkan yang bangsa arab ini langsung tidak mempunyai akhlak yang baik.

Musibah Dan Ujian




Keadaan bas yang remuk teruk
Seminggu yang lalu begitu memenatkan otak dan badan. Disebalik kegemparan pengumuman rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri yang baru, negara turut digemparkan dengan nahas bas jemaah umrah yang berlaku sekitar 40 KM dari Bandar Madinah Munawwarah. Apa kaitannya semua ini dengan aku dan sahabat – sahabat yang lain? Aku dan Pokmat memulakan projek khidmat umrah untuk travel – travel yang datang dan diketuai oleh Akh Faizal @ lebih dikenali dengan Acai Master. Setiap travel yang datang ke Madinah akan menghubungi kami untuk mendapatkan khidmat hotel, makanan, pengangkutan, ziarah dan sebagainya. Bukan semata – mata wang yang hendak dicari, tetapi kami juga memikirkan tentang khidmat dan bantuan untuk jemaah umrah yang diibaratkan saudara sendiri @ keluarga sendiri. Bukan sahaja dari segi khidmat pengurusan tetapi juga ilmu – ilmu yang sedikit sebanyak untuk disampaikan kepada jemaah Malaysia.



Projek bermula dengan kumpulan pertama jemaah umrah yang akan tiba di Madinah pada 7 April lalu. Malam sebelum jemaah tiba, persiapan hotel dan sambutan sudah di sediakan. Hanya menanti ketibaan jemaah yang akan berkampung di Madinah selama 3 hari. Saat akhir perubahan jadual berlaku kerana penerbangan dari KLIA ke Jeddah terlewat sampai dan penerbangan dari Jeddah ke Madinah yang sepatutnya diikuti oleh jemaah terpaksa dibatalkan dan ditukarkan ke bas. Acai mulanya mengarahkan aku untuk ikut serta ke Jeddah menyambut jemaah dan membawa jemaah dengan bas ke Madinah. Akhirnya aku tidak ikut serta kerana kekangan masa dan kuliah. Alhamdulillah jemaah tiba di Jeddah dengan penerbangan SV 836 tengah malam 6 April dan bertolak ke Madinah pada jam 4 pagi. Acai bersama dengan group VIP menaiki GMC dan selamat tiba di hotel pada jam 7 pagi.



Setelah ketibaan Acai, aku dan Pokmat pulang ke universiti untuk ke kelas. Rasanya tak sampai setengah jam dalam kelas telefon aku berbunyi dan sedikit mengganggu tumpuan terhadap pengajaran sheikh. Selepas beberapa jam tamat kelas aku kembali menghubungi Acai dan aku mendapat berita yang mengejutkan. Bas yang dinaiki jemaah kemalangan di KM 40, lebuhraya Madinah. Lepas solat zuhur kami bergegas ke hotel untuk melihat keadaan jemaah. Hanya 3 orang jemaah yang pulang ke hotel, sebahagian besar masih di Hospital King Fahd menerima rawatan. Setakat petang hari itu kami sudah mengetahui 5 orang anggota jemaah sudah meninggal dunia, namun kami masih menyembunyikan dari pengetahuan ahli keluarga yang berada bersama untuk mengelakkan mereka terkejut. Alhamdulillah jemaah yang selamat hanya mengalami cedera ringan dan boleh pulang ke hotel. Cuma seorang makcik yang cedera parah dan ditahan di wad. Masing – masing dalam keadaan trauma dan kami cuba membantu setakat yang mampu. Kami bawa mereka pulang ke hotel untuk berehat dan menghilangkan sekejap segala kekusutan dan trauma yang melanda.



Esoknya semua jemaah tertanya – tanya dimana beg pakaian mereka. Selepas kemalangan, polis mengumpulkan beg – beg jemaah dan menempatkan di satu tempat. Hari itu khamis, polis – polis banyak yang bercuti. Memang susah nak berurusan dengan polis Saudi yang kadang – kadang tak beretika langsung. Sampaikan TYT Duta Malaysia ke Arab Saudi sendiri datang ke balai polis untuk memudahkan urusan. Bila tengok orang besar datang baru kelam kabut dan tunjuk yang mereka ni buat kerja. Alhamdulillah akhirnya seorang pegawai tunjukkan kami tempatnya yang hampir 60 KM dari madinah, iaitu di Lebuhraya Madinah – Makkah. Lebih kurang 20 KM dari tempat berlakunya kemalangan. Tengah hari tu juga kami dengan 2 buah kereta menuju ke tempat tersebut dan menghantar beg – beg jemaah ke hotel. Hari ini mereka kelihatan sedikit ceria bila beg – beg pakaian dah sampai walaupun masih lagi sakit – sakit.



Pagi jumaat aku bersama beberapa jemaah yang dah mula pulih memulakan perjalanan menziarahi sekitar Madinah. Suasana sayu seketika di dalam bas apabila aku mengingatkan dan menyebutkan tentang hadis – hadis Rasulullah yang menjanjikan syafaat Baginda terhadap umat Baginda yang mati di Madinah dan juga bersabar di atas ujian Allah ketika di Madinah. Bagi aku sangat perlu untuk menceritakan perkara ini kepada mereka untuk memberi semangat dan redha dengan apa yang berlaku. Sepanjang perjalanan ziarah aku dapat lihat sedikit keceriaan di raut wajah pakcik – pakcik dan makcik – makcik ini. Rasulullah saw bersabda maksudnya : “ Siapa – siapa di kalangan umatku yang bersabar di atas kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat atau menjadi saksi kepadanya ”. Aku selalu ingatkan kepada semua jemaah tentang janji Rasul ini dan sentiasa redha dengan apa yang berlaku.


Bersambung..

Kembara : Episod 3 - Turkey

Kembali berbicara..
Kali ni sambungan kembara di Turkey. Bagi aku secara peribadinya, dalam banyak - banyak negara yang aku sampai ( mcm byk sgt ) Turkey paling best dan tak dapat dilupakan. Terletak di dua benua Asia dan Eropah menjadikan Turkey negara yang mempunyai tarikan semulajadi dan juga kesan - kesan tinggalan Pemerintahan Uthamaniah Khilafah Islam satu ketika dulu. Sedikit sebanyak perjalanan kami memberi gambaran bagaimana keadaan dan juga sebab - sebab yang mendorong kepada kejatuhan khilafah Islam yang kuat.

Perjalanan dari Syam menuju ke Ankara, Turki mengambil masa hampir sehari perjalanan. Tapi, cuaca yang sejuk serta perjalanan yang selesa membuatkan kami rasa masa berlalu begitu cepat. Dari Syam kami bertolak pukul 10 malam dan tiba di sempadan Turki lebih kurang 3 jam kemudian. Seterusnya kami transit di Antakia untuk menanti bas yang akan membawa kami ke Ankara.

Kenapa Ankara..??

Aku mulanya ingatkan Istanbul tu ibu negara Turki, rupanya kami semua silap. Istanbul ialah ibu negara bagi pemerintahan Uthmaniah dulu. Tetapi selepas Mustafa Kamal Ataturk menakluk Turki, terus ditukarkan Ankara sebagai Ibu Negara. Di Ankara kami menuju ke Kedutaan Besar Malaysia dan bermalam di rumah Penasihat Kedutaan Malaysia di Turki, Tuan Badli Sham. Ucapan terima kasih yang tak terhingga untuk beliau dan keluarga.

Bersama Tuan Badli Sham di Hadapan Kedutaan Malaysia di Turki

Ankara tak ubah macam Kuala Lumpur, ya la ibu negara. Bangunan yang tinggi, kesibukan kota raya dan jalan raya yang bertingkat. Cuma yang berbeza ialah salji turun dengan lebat sehingga kami rasa cukup puas dan lemas bila terlalu banyak salji. Masa di Syria punya la seronok main salji, bila sampai di Ankara salji turun tak henti sampai la malam kami bertolak ke Istanbul. Mulanya memang seronok gila dapat tgk salji turun. Tapi bila dah tak berenti sampai malam, nak jalan pun susah, penuh atas jalan, mula la rasa lemas dan nak demam.

Pagi tu kami dibawa ke Muzium Ataturk yang menempatkan kubur Mustafa kamal Ataturk dan juga barang - barang tinggalan dia. Di Turki ni, Kamal Ataturk sangat - sangat la disanjung oleh rakyat. Bagi masyarakat Turki, Kamal Ataturk merupakan bapa Turki yang berjaya membebaskan Turki dan membawa Turki ke arah yang lebih maju. Bagi kita umat Islam, Ataturk ni merupakan seorang pengkhianat dan juga yang merampas kuasa dari Kerajaan Uthamaniah. Pro bagi masyarakat Turki dan Kontra bagi masyarakat Islam dalam hal ni. Bila tengok sendiri baru kita tahu dan faham kenapa Ataturk begitu disanjung oleh mereka.

Berlatarbelakangkan Jalan Menuju Muzium Ataturk

Istanbul Menggamit Hati..

Pukul 10 malam kami meninggalkan Ankara dengan menaiki keretapi. Sebelum tren bergerak mata dah mula nak pejam. Seharian berjalan memang memenatkan. Keretapi Turki memang selesa dan sesuai untuk perjalanan yang jauh. Perjalanan mengambil masa 8 jam ke Istanbul tak terasa, sedar je dah sampai ke stesen akhir di Istanbul iaitu Haydarpasa.
Dari Haydarpasa kami menaiki feri untuk ke kawasan pelancongan Blue Mosque dan dapat la sewa hotel murah dengan harga 25 YTL untuk seorang. Murah ke tu..??25 YTL lebih kurang 60 MYR, murah la kot ye.
Suasana Istanbul memang menyegarkan, cuaca sejuk dan dingin walaupun kadang - kadang agak menyeksakan membuatkan kami senang nak jalan lama - lama. Destinasi pertama ialah Topkapi Sarayi, Istana tinggalan pemerintah Uthmaniah dulu. Macam - macam ada dalam ni samapaikan janggut nabi pun ada, tangan nabi John (Yahya) pun ada. Betul ke tidak taktau la kan. Malang sungguh sebab tak boleh ambil gambar, kalau tidak penuh memory dengan gambar - gambar tu.


Hadapan Pintu Masuk Topkapi Sarayi


Pintu Gerbang Menuju Ke Istana Topkapi ( Topkapi Sarayi )

Satu tempat yang mesti lawat, apa lagi kalau bukan Blue Mosque. Aku pun tak pasti sangat apa cerita di sebalik Blue Mosque ni. Nama sebenarnya ialah Sultan Ahmet Mosque atau lebih dikenali dengan Blue Mosque la kan. Bentuk dia macam Masjid Wilayah kat KL tu la, tak yah susah - susah datang tengok kat sini. Masjid Wilayah tu lagi blue aku rasa, Blue Mosque ni tak la blue sangat pun, ntah kaler apa pun tak tau..apa - apa lah..

Pilih Yang Mana Satu Nak dibuat Menantu..Berlatarbelakangkan Blue Mosque.


Aya Sofia


Binaan yang seakan - akan Blue Mosque menarik perhatian kami. Inilah dinamakan Aya Sofia. Mesti semua orang tau kan. Aya Sofia ni merupakan gereja pada asalnya sebelum kedatangan Islam. Bila Sultan Muhammad al - Fateh membuka Contantine, gereja tadi ditukarkan kepada masjid. Masih ada lagi kesan - kesan lukisan gereja pada dinding - dinding masjid ini. Selepas Turki diperintah oleh Ataturk, masjid ini sekali lagi ditukarkan menjadi muzium sehingga la sekarang dan menjadi tempat pelancongan yang masyur di Istanbul.

Mimbar tinggalan Islam di Aya Sofia

Sebahagian lukisan di dinding Aya Sofia yang di pamerkan.


Blue Mosque, pandangan dari Aya Sofia


Ruang dalaman Aya Sofia


Pintu Masuk Aya Sofia


Sebelum bertolak balik kami sempat makan tengah hari ikan bakar. Bot - bot yang aku rasa mungkin dah tak boleh jalan, depa modified jadikan kedai makan ikan bakar. Memang nikmat yang tak tertanggung dapat makan ikan bakar di kala angin sejuk macam peti ais. Tengah hari sejuk macam pagi buta, kena pulak makan ikan bakar panas..huh..mengasyikkan la..

Kami berangkat pulang ke Syria dengan keretapi pada jam 11.50 malam. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 hari. Dari Istanbul kami naik keretapi menuju ke Adana mengambil masa 23 jam, dari Adana menaiki bas ke Antakia 2 jam dan dari Antakia ke Damsyik lebih kurang 5 jam. kali la semua tu, agak - agak 2 hari juga kot. Ditambah dengan transit di stesen bas dan sebagainya. Walaupun perjalanan yang panjang dan lama, kamo tak la rasa terlalu penat dan letih. Suasana stesen bas yang cantik, bersih, kondisi kenderaan yang selesa membuatkan perjalanan kami selesa dan menyeronokkan.


Atas bot, makan tengah hari ikan bakar..sedap sungguh..


Spice bazaar


Sedikit sebanyak pengalaman dan perjalanan untuk tatapan. Kena jugak la dengan tema blog aku ni..Sejauhku Melangkah..Jauh dah aku melangkah ni. Tapi satu lirik lagu yang membuatkan aku selalu teringat seseorang..


Jauh telah langkah ku jelajah,
Dakapmu laman yang kurindu,
Luas sudah kulihat dunia,
Senyummu ukiran terindah,

Tiap perilaku dan budimu,
Tiap air mata tumpah darah,
Menjadi perlambangan sejati,
Kasih tak bersyarat,

Ibu..redup matamu,
Memayungi bahagiaku,
Hanya ditapak kakimu,
Terletaknya syurga buatku..
..







Kembara : Episod 2 - Syria

Kata pepatah " Jauh Perjalanan, Luas Pandangan "..

Pandai pulak aku bermadah ye..bukan madah tu, memang betul kan kata - kata tu. Sebelum dah betul - betul basi cerita aku ni, baik aku bagi dulu. Walaupun dah hampir - hampir basi, tapi tetap segar dalam ingatan. Tak mau cita panjang - panjang, nak letak gambar je bagi suma orang tengok. Mak pun dah lama tanya mana gambar anakanda tersayang ni, rindu agaknya..



Berlatarbelakangkan Souq Hamidiah atau org putih panggil Hamidiah Market kot..

Souq Hamidiah ni memang tempat tumpuan pelancong kat Damsyik ni. Kami pun pelancong jugak kan, semestinya kena abiskan masa dan duit kat sini la. Banyak barang - barang dan cenderamata yang sesuai untuk dibawa balik sebagai contoh aku beli alas meja untuk mak. Aku pun tak reti sangat nak pilih, belasah je la. Agak - agak nampak lawa dan sesuai boleh la beli. Harga pun boleh tahan, tak mahal sangat. Tapi sebelum dapat murah tu kena putaq - putaq la dulu sampai la akhirnya dapat la murah. Aku beli satu je, depa borong banyak - banyak. Katanya nak bagi kat bakal mak ipar..mak ipar?? sapa tu..


Berlatarbelakangkan Kesibukan Kota Damsyik

Hari kedua, pagi - pagi lagi depa dah kejut bangun. Katanya nak pi main salji kat atas bukit. Apakejadahnya main salji pagi - pagi ni, dah la sejuk yang amat. nak wuduk pun terseksa batin. Aku pun siap2 la dengan baju tebal dan kasut yg tak berapa nak tebal. Ikut saja la depa nak bawak p mana pun. Tak ikut rugi la kan, dah mai tempat orang. Tempat yang dituju ialah Bukit Bouldan lebih kurang 40 minit dari Pusat Bandar. Memang best jugak la dapat main salji yang pertama kali aku jumpa. Kat rumah aku dulu pun ada jugak salji, aku buat tak heran je. ya la, dalam peti ais bukan mai keras lagi salji. Nak demam jugak la main salji sebab atas bukit kan, angin dia bukan main. Dah puas main salji apa lagi, pekena Syai @ teh panas la nak bagi panas sikit.


PPM tu maksudnya Pelajar Perempuan Madinah..eh bukan..Persatuan Pelajar Malaysia Madinah


First time jumpa salji..macam orang gila jadinya..



Satu lagi pengalaman atau peluang yang sangat keemasan ialah bertemu dengan tokoh Islam yang masyur pada masa kini yang juga merupakan pengarang kitab - kitab fiqh iaitu Dr Wahbah Zuhaily. Salah satu kitab yang masyur yang selalu sangat pelajar - pelajar pengajian Islam nak sangat tu ialah Fiqh Islamy wa Adillatuh. Kalau ngaji Syariah ke, Pengajian Islam ke mesti nak beli kitab ni. Baru - baru ni beliau dianugerahkan tokoh maal hijrah di Kuala Lumpur. Kira orang Malaysia pun kenal jugak la dia ni. Kebetulan beliau mengajar di Jamie' Umawi ni, kami pun ambil peluang dengar syarahan dan jugak bergambar untuk kenangan seumur hidup.


Bersama Dr. Wahbah Zuhaily di Jamie' Umawi


Team kami ni memang pandai bergaya bila bergambar. so, akan terpapar la aksi - aksi menarik gaya model - model terkini bila bergambar. Ingat ustaz tak reti bergaya ke..?? lagi hebat dari model..huh..

Gaya Remaja Bebas Bergambar..Jamie' Umawi

Turkey melambai..


KAMI JUARA


Pasukan - pasukan yang menyertai pertandingan..PPM di tengah jersi kuning.




Piala yang dimenangi oleh Pasukan Aura PPM Madinah


Makkah : Pasukan Aura PPM Madinah telah berjaya menjuarai Kejohanan Futsal Piala Datuk Dr. Ghazali buat julung-julung kalinya. Kejohanan tersebut telah disertai oleh pasukan-pasukan dari seluruh pelusuk Arab Saudi. Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian terdiri daripada, Aura (Madinah), Zelan (Jizan), Ummul Quro (Makkah), Nokia (Makkah), Ranhill (Jeddah), Yanbu3 (Yanbu3), Tabung Haji (Jeddah), Panda (Jeddah) dan Jamamarat (Makkah).


Naib johan telah disandang oleh pasukan Zelan daripada Jizan dan tempat ketiga pula dimenangi pasukan Nokia dari Makkah. Noraizat b. Nor Azman dari Aura Madinah telah dinobatkankan sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan manakala pengurus terbaik juga dari pasukan Aura Madinah yang dipimpin oleh Ahmad Fikri b. Mohd Paudzi (menobatkan diri sendiri).


Wartawan : PokMart