sejauh ku melangkah

semakin jauh ku melangkah..semakin banyak cabaran mendatang

Musibah Dan Ujian




Keadaan bas yang remuk teruk
Seminggu yang lalu begitu memenatkan otak dan badan. Disebalik kegemparan pengumuman rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri yang baru, negara turut digemparkan dengan nahas bas jemaah umrah yang berlaku sekitar 40 KM dari Bandar Madinah Munawwarah. Apa kaitannya semua ini dengan aku dan sahabat – sahabat yang lain? Aku dan Pokmat memulakan projek khidmat umrah untuk travel – travel yang datang dan diketuai oleh Akh Faizal @ lebih dikenali dengan Acai Master. Setiap travel yang datang ke Madinah akan menghubungi kami untuk mendapatkan khidmat hotel, makanan, pengangkutan, ziarah dan sebagainya. Bukan semata – mata wang yang hendak dicari, tetapi kami juga memikirkan tentang khidmat dan bantuan untuk jemaah umrah yang diibaratkan saudara sendiri @ keluarga sendiri. Bukan sahaja dari segi khidmat pengurusan tetapi juga ilmu – ilmu yang sedikit sebanyak untuk disampaikan kepada jemaah Malaysia.



Projek bermula dengan kumpulan pertama jemaah umrah yang akan tiba di Madinah pada 7 April lalu. Malam sebelum jemaah tiba, persiapan hotel dan sambutan sudah di sediakan. Hanya menanti ketibaan jemaah yang akan berkampung di Madinah selama 3 hari. Saat akhir perubahan jadual berlaku kerana penerbangan dari KLIA ke Jeddah terlewat sampai dan penerbangan dari Jeddah ke Madinah yang sepatutnya diikuti oleh jemaah terpaksa dibatalkan dan ditukarkan ke bas. Acai mulanya mengarahkan aku untuk ikut serta ke Jeddah menyambut jemaah dan membawa jemaah dengan bas ke Madinah. Akhirnya aku tidak ikut serta kerana kekangan masa dan kuliah. Alhamdulillah jemaah tiba di Jeddah dengan penerbangan SV 836 tengah malam 6 April dan bertolak ke Madinah pada jam 4 pagi. Acai bersama dengan group VIP menaiki GMC dan selamat tiba di hotel pada jam 7 pagi.



Setelah ketibaan Acai, aku dan Pokmat pulang ke universiti untuk ke kelas. Rasanya tak sampai setengah jam dalam kelas telefon aku berbunyi dan sedikit mengganggu tumpuan terhadap pengajaran sheikh. Selepas beberapa jam tamat kelas aku kembali menghubungi Acai dan aku mendapat berita yang mengejutkan. Bas yang dinaiki jemaah kemalangan di KM 40, lebuhraya Madinah. Lepas solat zuhur kami bergegas ke hotel untuk melihat keadaan jemaah. Hanya 3 orang jemaah yang pulang ke hotel, sebahagian besar masih di Hospital King Fahd menerima rawatan. Setakat petang hari itu kami sudah mengetahui 5 orang anggota jemaah sudah meninggal dunia, namun kami masih menyembunyikan dari pengetahuan ahli keluarga yang berada bersama untuk mengelakkan mereka terkejut. Alhamdulillah jemaah yang selamat hanya mengalami cedera ringan dan boleh pulang ke hotel. Cuma seorang makcik yang cedera parah dan ditahan di wad. Masing – masing dalam keadaan trauma dan kami cuba membantu setakat yang mampu. Kami bawa mereka pulang ke hotel untuk berehat dan menghilangkan sekejap segala kekusutan dan trauma yang melanda.



Esoknya semua jemaah tertanya – tanya dimana beg pakaian mereka. Selepas kemalangan, polis mengumpulkan beg – beg jemaah dan menempatkan di satu tempat. Hari itu khamis, polis – polis banyak yang bercuti. Memang susah nak berurusan dengan polis Saudi yang kadang – kadang tak beretika langsung. Sampaikan TYT Duta Malaysia ke Arab Saudi sendiri datang ke balai polis untuk memudahkan urusan. Bila tengok orang besar datang baru kelam kabut dan tunjuk yang mereka ni buat kerja. Alhamdulillah akhirnya seorang pegawai tunjukkan kami tempatnya yang hampir 60 KM dari madinah, iaitu di Lebuhraya Madinah – Makkah. Lebih kurang 20 KM dari tempat berlakunya kemalangan. Tengah hari tu juga kami dengan 2 buah kereta menuju ke tempat tersebut dan menghantar beg – beg jemaah ke hotel. Hari ini mereka kelihatan sedikit ceria bila beg – beg pakaian dah sampai walaupun masih lagi sakit – sakit.



Pagi jumaat aku bersama beberapa jemaah yang dah mula pulih memulakan perjalanan menziarahi sekitar Madinah. Suasana sayu seketika di dalam bas apabila aku mengingatkan dan menyebutkan tentang hadis – hadis Rasulullah yang menjanjikan syafaat Baginda terhadap umat Baginda yang mati di Madinah dan juga bersabar di atas ujian Allah ketika di Madinah. Bagi aku sangat perlu untuk menceritakan perkara ini kepada mereka untuk memberi semangat dan redha dengan apa yang berlaku. Sepanjang perjalanan ziarah aku dapat lihat sedikit keceriaan di raut wajah pakcik – pakcik dan makcik – makcik ini. Rasulullah saw bersabda maksudnya : “ Siapa – siapa di kalangan umatku yang bersabar di atas kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat atau menjadi saksi kepadanya ”. Aku selalu ingatkan kepada semua jemaah tentang janji Rasul ini dan sentiasa redha dengan apa yang berlaku.


Bersambung..

0 ulasan: