sejauh ku melangkah

semakin jauh ku melangkah..semakin banyak cabaran mendatang

Musibah Dan Ujian 2..

Sambungan..

Perjalanan ziarah hari itu sedikit sebanyak membangkitkan kembali semangat untuk teruskan pengembaraan. Selepas ziarah Acai terus jemput aku di hotel dan pergi ke Pejabat Penyediaan Jenazah di Perkuburan Baqi’. TYT Duta dan ahli keluarga sudah sedia menunggu jenazah dimandikan dan akan dihantar ke Masjid Nabawi untuk disembahyangkan lepas solat jumaat. 4 jenazah rakyat malaysia yang meninggal selamat dikebumikan selepas solat jumaat diiringi oleh ahli keluarga dan juga pelajar – pelajar yang turut sama menyertai perjalanan terakhir mereka. Hadis Rasulullah saw ada menyebut yang maksudnya : “Barangsiapa di kalangan umatku yang mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku menjanjikan syafaat padanya pada hari kiamat kelak”. Makcik Noraini yang kehilangan suaminya aku lihat cukup tenang dan tabah. Sesekali dia tanyakan pada aku “ apa yang berlaku ni musibah ke ujian dik?” Baginya walaupun ini satu musibah, tetapi tetap bersyukur suaminya akan terus tinggal di Madinah ini dan mendapat apa yang dijanjikan oleh Baginda Rasulullah saw. Alhamdulillah mereka ini sangat tabah dan menerima apa yang berlaku. Apa yang berlaku memang satu musibah dan ujian, tetapi ujian yang mereka terima memang berat dan susah untuk diterima. Tetapi kami selalu ingatkan bahawa mereka sebenarnya beruntung kerana Allah menguji mereka di Madinah. Orang akan berkata bahawa mereka ini mungkin telah melakukan sesuatu dosa dan sebagainya, dan ujian ini sebagai muhasabah bagi mereka dan jika mereka bersabar ada ganjaran yang besar untuk mereka.

Setiap kata aku susun dan atur supaya tidak mengguris hati mereka. Ingatan bahawa ujian yang ditimpakan oleh Allah ini bukan kerana bencinya Allah pada kita, tetapi betapa sayangnya Allah pada hambanya. Sememangnya sebagai satu muhasabah untuk diri mereka dan juga aku atas dosa – dosa lalu yang disedari atau tidak, namun ujian ini juga banyak hikmahnya dan menjadi satu anjakan untuk mereka menyedari akan kasih sayang Allah. Hari – hari yang berlalu aku bersama – sama dengan mereka dan membantu apa yang patut. Semakin hari, mereka semakin tenang dan mula melupakan seketika peristiwa hitam yang berlaku.

Hari ke 5, jenazah seorang warga Indonesia yang turut terkorban masih belum dikebumikan. Datin Natasya(kami panggil kak Natasya) yang menjadi teman rapat arwah Elli Sudarta Jamaluddin agak gelabah kerana panggilan ahli keluarga yang tak henti – henti bertanya. Jenazah ini lewat diuruskan kerana Konsulat Indonesia masih bercuti akibat daripada pilihanraya yang berlaku di Indonesia. Pagi – pagi lepas subuh kak Natasya telefon aku minta tolong tengokkan jenazah dan tolong selesaikan. Kenapa aku yang disuruhnya?..Aku pun tak pasti keadaan sebenar, tetapi Ustaz Roslan (ketua rombongan) maklumkan pihak muassasah akan uruskan jenazah tersebut. Petang ahad Ustaz Roslan panggil aku ke hotel kerana pihak muassasah minta untuk melihat jenazah dan mengikut ke perkuburan. Pihak muassasah memaklumkan jenazah dah dibawa ke tempat pengurusan lepas zohor hari itu, Cuma perlu sedikit masa kerana jenazah diliputi ais yang keras akibat lamanya diletak dalam peti ais. Kami terus ke tempat pengurusan jenazah bersama Kak Natasya untuk melihat dan membantu apa yang patut. Apabila sampai di situ, pegawai yang bertugas mengatakan jenazah akan dimandikan juga sebelum maghrib dan dikebumikan selepas solat. Hanya aku, Salam dan Kak Natasya sahaja ‘ahli keluarga’ jenazah yang ada disitu.

Pegawai meminta kami untuk mengangkat jenazah yang masih dibungkus dengan plastik hitam untuk diletakkan di atas ‘palong’ atau tempat mandi jenazah. Masa itulah kami dapat rasakan kerasnya mayat ini akibat dari terlalu lama diletakkan dalam peti ais. Kami menunggu sehingga selesai dimandi dan dikafankan jenazah dan menghantarnya ke masjid untuk disolatkan.

Selesai solat maghrib, aku dan Salam bergegas ke perkuburan Baqi untuk mengiringi perjalanan terakhir jenazah. Inilah pertama kali kami melihat dan memasuki Baqi untuk mengebumikan jenazah. Apabila sampai di kubur yang dah digali, orang ramai disitu bertanyakan dimana ahli keluarga jenazah ini. Mulanya aku mendiamkan diri, namun akhirnya aku mengakui yang aku ahli keluarga beliau kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya kecuali aku dan Salam yang menemaninya. Mereka meminta aku untuk masuk ke dalam liang untuk menyambut jenazah. Tiba – tiba Perasaan sayu menyelubungi apabila jenazah diturunkan ke liang, air mata mengalir walaupun aku sendiri tidak mengenali arwah dan tidak pernah tahu bagaimana wajahnya yang sebenar. Tidak ada saudara, tidak ada anak – anak yang mengiringi perjalanan terakhir beliau. Tetapi apabila dikenangkan bahawa arwah sangat bertuah di tempatkan di sini, kami kembali tersenyum. Bagaimana pula kami masa akan datang? Mudah – mudahan Allah swt mengampunkan dosa kami dan dosa mereka yang telah pergi serta menempatkan mereka bersama orang – orang yang soleh. Selesai pengkebumian kami kembali ke hotel menghantar Kak Natasya dan pulang ke Universiti. Sepanjang malam aku teringatkan jenazah tadi dan hidung seolah – olah masih lekat dengan kapur barus dari jenazah. Bukan ketakutan yang aku ingatkan, tetapi perjalanan yang di atur oleh Allah swt buat hambanya yang terpilih. Bagaimanakah aku satu masa nanti? Aku mendoakan mudah – mudahan dikurniakan Husnul Khatimah di akhir hayat aku.

13 hb April hari terakhir jemaah ini berada di Madinah. Pukul 10 pagi mereka sudah berkumpul di lobi hotel untuk berangkat ke Mekah. 3 buah GMC dah ditempah untuk membawa jemaah ke Mekah. Orang arab pun kadang – kadang kalau berjanji lagi teruk dari orang melayu. Hampir 10.30 baru 2 buah GMC dipandu oleh orang Saudi sampai. GMC yang ketiga masih belum kelihatan. Aku meminta 2 GMC ni untuk tunggu sehingga GMC ketiga sampai supaya sama – sama bergerak ke Meeqat Zulhulaifah. Hari itu pula banyak sangat polis – polis trafik bersiaran di kawasan Haram (Masjid Nabawi). Kerana terlalu lama menunggu di depan hotel, polis mengarahkan mereka bergerak kerana tidak dibenarkan parkir di hadapan hotel. Tetapi bila melihatkan ada jemaah umrah di dalam GMC, polis bertanyakan kepada 2 pemandu tersebut tentang permit untuk membawa penumpang. Rupanya mereka ini tidak mempunyai permit untuk membawa penumpang, syarikat yang kami bayar untuk pengangkutan hanya ‘cekup’ saja GMC yang lawa – lawa untuk disewa. Akhirnya mereka disaman dan katanya SR 500 setiap seorang. Arab ni mula marah – marah kat aku kerana disebabkan aku mereka disaman. Kami mula bergerak ke Meeqat untuk berniat umrah.

Di Meeqat perkara lain pula yang berlaku. 2 drebar arab ni dah berpakat meminta kami membayar seorang SR 500 untuk menjelaskan saman, 2 orang jadi SR 1000 la. Jika tidak dijelaskan beg – beg akan di keluarkan dan mereka akan pulang tanpa membawa jemaah ke Mekah. Suasana tegang seketika apabila aku mula melenting, langsung tidak ada sifat ihsan terhadap tetamu yang datang dan hanya mementingkan diri dan wang. Baginya aku yang salah dan telah mengadukan kepada bos syarikat dengan mengatakan aku yang salah dan keluarkan kata kesat pada mereka. Jemaah menjadi saksi yang aku langsung tidak mengeluarkan kata kesat pada mereka yang berumur lingkungan 40-an itu.

Betapa buruknya akhlak bangsa yang dipilih Allah untuk tinggal di Madinah ini. Rasulullah mendidik para sahabat dan mentarbiah sahabat sehingga menjadi khalifah dan ketua tentera yang hebat hanya bermula dengan akhlak dan budi bahasa. Rasulullah tidak tinggalkan di Madinah ini kota – kota yang besar dan hebat, bangunan – bangunan tinggi seperti di Andalus, Istanbul, hanya yang tinggal ialah tiang – tiang bangunan yang hampir runtuh, batu – batu keras dan tanah yang gersang. Namun tinggalan Rasulullah ialah akhlak, ilmu dan juga generasi – generasi yang mampu dan telah pun membuktikan kehebatan dengan menumpaskan kerajaan Rom yang hebat, kerajaan Parsi yang penuh dengan kota – kota yang hebat. Tetapi sekarang, manusia – manusia yang tinggal di bumi Nabi ini tidak sedikit pun mewarisi semua itu. Aku pun hairan kenapakah mereka ini tidak mewarisi semua ini. Yang ada hanya lah kesombongan dan keangkuhan dengan kereta dan rumah yang besar, menunjuk – nunjuk pada tetamu akhlak yang tidak elok. Pada aku setiap perkara yang dibuat lansung tidak mempunyai adab dan akhlak. Memandu, makan, berurusan dan setiap segi menunjukkan yang bangsa arab ini langsung tidak mempunyai akhlak yang baik.

1 ulasan:

Unknown 21 April 2009 pada 5:36 PG  

Pak Cik Basri amat tersentuh dengan coretan fikri berkenaan jemaah Umrah yang kemalangan ini