sejauh ku melangkah

semakin jauh ku melangkah..semakin banyak cabaran mendatang

Hari Ini

Genap seminggu kepulangan kami ke Madinah dan University yang tercinta. Dalam masa beberapa hari ini aku agak sibuk dengan berbagai urusan yang mesti dibuat secepat yang mungkin. Pertamanya, pembaharuan iqamah atau di sebut sebagai Resindence Permit bagi kami yang menetap di Arab Saudi. Prosedurnya agak leceh bukan kerana kekurangan sistem atau kelemahan teknologi, tetapi kelemahan tenaga manusia yang sering menghabiskan masa dengan secawan teh di waktu pagi sebelum memulakan kerja yang tidak seberapa. Namun kali ini Allah memudahkan urusan aku dan semuanya berjalan lancar bermulanya dengan ujian darah yang di buat di Hospital University.

Ujian darah perkara wajib dibuat untuk mengelakkan pelajar - pelajar yang mempunyai penyakit kronik tidak menyebarkan kepada pelajar lain. Aku sebenarnya agak gelisah sebelum pegawai perubatan mengambil darah kerana pengalaman sewaktu di Klinik Kerajaan Sungai Petani yang menyakitkan. Ketika itu aku ingin membuat ujian HIV sebagai syarat wajib bagi pasangan yang ingin berkahwin. Mungkin disebabkan badan yang berisi membuatkan urat - urat darah tidak timbul dan perkara ini menyukarkan nurse yang bertugas waktu itu mencuba berulang kali di lengan sehingga berjaya. Hampir 5 kali tusukan jarum di lengan aku barulah darah memenuhi separuh bekas yang disediakan. Apabila aku memikirkan kemungkinan bangsa arab lebih kasar dan pegawai semuanya lelaki membuatkan aku lebih gelisah. Tetapi aku teruja sekali apabila hanya sekali tusukan sudah dapat memenuhi botol kecil itu. Aku kembali berfikir, adakah makcik - makcik nurse di Malaysia kurang kepakaran dan pengalaman atau Mat arab ini yang pandai?..
Alhamdulillah prosedur tersebut sudah selesai dan aku hanya menunggu kad residence permit siap dalam masa seminggu lagi.

Perkara kedua yang amat menyesakkan keadaan ialah arahan berpindah kepada penghuni tingkat 1 di Blok 8. 4 tahun kami di situ dan inilah kali pertama aku diarahkan berpindah untuk memberi ruang kepada pelajar - pelajar baru yang akan tiba. Asrama yang tersedia untuk mereka tidak mencukupi dan terpaksalah kami beralah mencari bilik yang baru. Bermula jam 10 pagi aku dan Wan mengerahkan kawan - kawan membantu memindahkan barang - barang yang 4 tahun bertapuk di bilik kami. Agaknya kalau diletakkan dalam satu rumah pun belum tentu dapat memuatkan semua barang - barang kami. Terima kasih kepada Mursyid, Salam, Due, Kmal dan sahabat - sahabat yang lain yang membanting tulang menolong kami, Semoga Allah membalas kebaikan kalian. Alhamdulillah sekarang aku di bilik baru bersama roomate yang baru yang juga junior aku dari Kelantan dan seorang lagi dari Canada. Kalau dulu aku tinggal bersama kawan - kawan dari France dan Maldives, tetapi sekarang bersama rakan dari negara sendiri. Lebih selesa dan lebih sefahaman bila bersama rakan dari negara sendiri tanpa menafikan banyak lagi kelebihan 4 tahun bersama rakan - rakan dari pelbagai negara pelusuk dunia.

Madinah Munawwarah
10.22 pm

Kembali Bertatih


Assalamualaikum wrt,


Lama sungguh blog ni bersawang dan tak dibersihkan. Cuti panjang 3 bulan aku penuhi dengan sebaiknya sehingga tak sempat nak update blog ni. Banyak program yang telah aku lalui di Malaysia dan hari ini kembali aku dan sahabat - sahabat ke Madinah Munawwarah.


Lain sungguh perasaan kepulangan kali ini, gembira, sedih dan macam - macam lagi perasaan menyerbu. Tatkala pesawat mula melonjak meninggalkan tanah air, perasaan sayu mula menyesak hati. Namun ku kuatkan juga untuk meneruskan perjalanan ilmu di bumi Madinah. Jauh mata memandang ke bawah melihat pohon - pohon hijau yang aku tinggalkan, serta merta bayangan wajah - wajah mak dan ayah yang tersayang, adik - adik serta isteriku tercinta yang aku tinggalkan buat smentara waktu. Sememangnya mereka amat memahami dan selalu memberi ruang dan semangat untuk aku jadi yang terbaik.



Pesawat meluncur laju mencecah landasan di Lapangan Terbang Prince Muhammad, Madinah Munawwarah tepat jam 2 pagi. Aku mula memikirkan kitab - kitab, nota - nota yang akan aku habiskan dalam siri baki pengajianku di bumi berkat ini. Mudah - mudahan Allah memudahkan setiap urusan hambanya yang lemah ini dan memberikan kekuatan untuk menuntut ilmuNya di sini. Masih terasa kelibat Akh Syazwan di asrama, masih terasa kesedapan masakan Syazwan bila kami sama - sama memasak di rumah PPM. Tanpa disedari, sudah 5 tahun kami di sini dan kawan - kawan yang sudah tamat pengajian sedang menongkah alam pekerjaan dan tanggungjawab di tanah air.



Hanya tinggal 2 semester untuk aku habiskan di sini. Mudah - mudahan Allah memberikan hidayah dan petunjukNya kepadaku.



Madinah Munawwarah

3pm

Majlis Perkahwinan

Salam ikhwah yang dirahmati Allah. Ramai kawan - kawan tertunggu2 gambar2 sekitar majlis perkahwinan saya. Kesibukan hidup yang baru bermula membuatkan saya tak sempat menjengah ke blog ditambah internet yang tiada di rumah 'baru' di Kulim. Tak mau cakap panjang, boleh la tengok sendiri gambar2 yang ada disini.


Saat di akad nikah oleh tuan Imam Masjid Sg Baru. Bukan pengantin yang ketar, tapi Imam yang gelabah sebab pengantin lagi besar..


Bukan bersanding, kebetulan sofa ada kat situ. Sesuai sangat ambil shot kat situ.

Menyarung cincin di jari


Pasangan Sehari Raja

Edited picture

Bersama Mak dan Adik beradik ipar.

Di rumah Sungai Petani

Tempoh Bertenang Dah Tamat


Salam..


Hari ni baru la rasa lega sikit dan kembali bujang buat sementara waktu. Mesti pembaca setia blog aku yang cantik ni dah tak sabar - sabar nak tengok gambar kahwin. Esok aku akan berangkat ke Kemboja dan selama lebih kurang juga aku akan kembali bujang. Hari ni pagi - pagi lagi aku keluar hantar isteri ke sekolah, maklum lah cikgu. Aku je menganggur lagi..


Alhamdulillah majlis perkahwinan kami berjalan dengan lancar. Hari ni genap seminggu aku jadi suami orang. Dalam seminggu ada juga 2,3 perkara yang memerlukan aku berfikir dan membuat keputusan yang tepat sebagai suami dan ketua. Keluarga cukup memahami dan sangat - sangat memberi support yang membuatkan aku tenang seketika.


Gambar - gambar majlis perkahwinan belum lagi boleh dimasukkan sebab jurukamera yang dilantik belum menghantarkannya ke rumah. Photographer profesional pulak tu, bukan senang nak cari oooo..


Aku dinikahkan pada hari sabtu 18 Julai yang lalu. Pukul 1130 pagi imam masjid Kg Sg Baru dah siap sedia. Aku pun melangkah dengan penuh gagah bersalaman dengan tok imam yang segak bergaya. Alhamdulillah tidak punyai apa - apa halangan dan dalam masa beberapa minit ja dah selesai. Senang je rupanya akad nikah ni, dulu aku pernah tengok orang akad nikah susah sangat.


Aku mengharapkan barakah dari Allah sentiasa melimpahi rumahtangga kami sehingga syurga nanti..Ameeen

Walimah

Sudah tiba masanya aku mengumumkan detik penting dalam hidup. 19Hb Julai 09 Majlis Perkahwinan Ahmad Fikri dan Noor 'Aini di Sungai Petani, Kedah. Ikhwah sekalian dijemput menghadiri majlis kami untuk sama - sama memeriahkannya.

Selamat Pulang..

Alhamdulillah aku selamat pulang ke tanah air dengan penerbangan SV 832 dari Jeddah hari ini. Penerbangan 8jam terasa cepat berlalu dan selamat mendarat di KLIA pada jam 1.30 petang 28 Jun. Kelam kabut jugak dibuatnya bila tarikh asal balik ialah pada 30 Jun, tapi saat akhir dapat tukar ke 27 Jun. Nasib baik semua barang dah di beli, cuma nak siap beg je. kakcik pulak 29 Jun baru berangkat dari Cairo, dah lama xtengok adik aku ni. besar ke kecik pun xtau la kan.

Akhir - akhr ni memang tak sempat nak ber'tenet'. Maklum la internet pun dah kena catu, masa pun xcukup sangat sebab byk masa dah di buang..hehehehe..

Aku masih menanti penerbangan ke Alor Setar pukul 7.55 malam ni. Alhamdulillah ada internet free kat KLIA ni, dapat la aku berblog sat.

Calon Mahasiswa ke Timur Tengah Diseru Agar Bersikap Terbuka

Dipetik dari laman : www.ismaweb.net
Calon Mahasiswa ke Timur Tengah Diseru Agar Bersikap Terbuka

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menyeru para mahasiswa yang akan ke Timur Tengah agar bersikap terbuka dan bijak dalam menangani isu kepelbagaian persatuan pelajar di sana nanti. Sikap terbuka ini menurutnya adalah kunci kepada kesatuan umat Islam sebelum ini. Menguruskan kepelbagaian pandangan dan pendekatan setiap persatuan di sana adalah suatu yang akan menguji ilmu dan sikap seseorang.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan majlis penutup program Selangkah ke Bumi Anbiya' (SKBA) anjuran Sekretariat Luar Negara ISMA yang telah berlangsung pada 22-24 Mei 2009 lepas.
Program khas persediaan bagi mahasiswa yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah ini diadakan atas keprihatinan Sekretariat Luar Negara ISMA terhadap masalah-masalah yang biasanya dihadapi oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Apatah lagi bilangan pelajar yang dihantar ke sana semakin meningkat saban tahun.
Tidak dinafikan, pelajar-pelajar lepasan SPM, STAM, dan diploma pengajian Islam cenderung untuk melanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah demi menggali khazanah ilmu Islam yang diwariskan para Ulama’. Satu hakikat yang terpaksa diakui ialah kebanyakan dari pelajar-pelajar ini kebiasaannya pergi tanpa memiliki persediaan mental dan gambaran cara pembelajaran yang cukup. Kesannya, mereka mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan suasana di sana, dan seringkali mengalami masalah dalam pembelajaran mereka.
Ini adalah kali ke-enam Sekretariat Luar Negara ISMA menganjurkan program seumpama ini. Berbeza dari program-program persediaan yang biasa, Selangkah Ke Bumi Anbiya’ ini mendedahkan kepada para peserta secara terperinci tentang sistem dan maklumat mengenai setiap bidang pelajaran yang semasa dan terkini. Kesemuanya dibentangkan oleh para graduan alumni Al-Azhar sendiri.
Aspek persediaan mental dan rohani pelajar sebagai seorang mahasiswa yang memikul risalah Islam turut ditekankan melalui satu slot menarik yang dinamakan sebagai slot ‘Ijazah dan Risalah’, yang kemudiannya menjadi satu bahan perbincangan yang memberangsangkan di kalangan peserta. Tidak ketinggalan satu forum khas bertemakan 'Peranan mahasiswa Timur Tengah dan cara menggapainya' yang menampilkan Dr Zainur Rashid Zainuddin, Naib YDP ISMA Seremban dan Ustaz Ahmad Zainal Abidin, YDP ISMA Melaka, yang berjaya mengupas persoalan-persoalan penting tentang dinamika masa depan mahasiswa Timur Tengah.


sambung baca di:
http://ismaweb. net/v2/Article10 56.html
http://bumianbiya. blogspot. com/