sejauh ku melangkah

semakin jauh ku melangkah..semakin banyak cabaran mendatang

Hari Ini

Genap seminggu kepulangan kami ke Madinah dan University yang tercinta. Dalam masa beberapa hari ini aku agak sibuk dengan berbagai urusan yang mesti dibuat secepat yang mungkin. Pertamanya, pembaharuan iqamah atau di sebut sebagai Resindence Permit bagi kami yang menetap di Arab Saudi. Prosedurnya agak leceh bukan kerana kekurangan sistem atau kelemahan teknologi, tetapi kelemahan tenaga manusia yang sering menghabiskan masa dengan secawan teh di waktu pagi sebelum memulakan kerja yang tidak seberapa. Namun kali ini Allah memudahkan urusan aku dan semuanya berjalan lancar bermulanya dengan ujian darah yang di buat di Hospital University.

Ujian darah perkara wajib dibuat untuk mengelakkan pelajar - pelajar yang mempunyai penyakit kronik tidak menyebarkan kepada pelajar lain. Aku sebenarnya agak gelisah sebelum pegawai perubatan mengambil darah kerana pengalaman sewaktu di Klinik Kerajaan Sungai Petani yang menyakitkan. Ketika itu aku ingin membuat ujian HIV sebagai syarat wajib bagi pasangan yang ingin berkahwin. Mungkin disebabkan badan yang berisi membuatkan urat - urat darah tidak timbul dan perkara ini menyukarkan nurse yang bertugas waktu itu mencuba berulang kali di lengan sehingga berjaya. Hampir 5 kali tusukan jarum di lengan aku barulah darah memenuhi separuh bekas yang disediakan. Apabila aku memikirkan kemungkinan bangsa arab lebih kasar dan pegawai semuanya lelaki membuatkan aku lebih gelisah. Tetapi aku teruja sekali apabila hanya sekali tusukan sudah dapat memenuhi botol kecil itu. Aku kembali berfikir, adakah makcik - makcik nurse di Malaysia kurang kepakaran dan pengalaman atau Mat arab ini yang pandai?..
Alhamdulillah prosedur tersebut sudah selesai dan aku hanya menunggu kad residence permit siap dalam masa seminggu lagi.

Perkara kedua yang amat menyesakkan keadaan ialah arahan berpindah kepada penghuni tingkat 1 di Blok 8. 4 tahun kami di situ dan inilah kali pertama aku diarahkan berpindah untuk memberi ruang kepada pelajar - pelajar baru yang akan tiba. Asrama yang tersedia untuk mereka tidak mencukupi dan terpaksalah kami beralah mencari bilik yang baru. Bermula jam 10 pagi aku dan Wan mengerahkan kawan - kawan membantu memindahkan barang - barang yang 4 tahun bertapuk di bilik kami. Agaknya kalau diletakkan dalam satu rumah pun belum tentu dapat memuatkan semua barang - barang kami. Terima kasih kepada Mursyid, Salam, Due, Kmal dan sahabat - sahabat yang lain yang membanting tulang menolong kami, Semoga Allah membalas kebaikan kalian. Alhamdulillah sekarang aku di bilik baru bersama roomate yang baru yang juga junior aku dari Kelantan dan seorang lagi dari Canada. Kalau dulu aku tinggal bersama kawan - kawan dari France dan Maldives, tetapi sekarang bersama rakan dari negara sendiri. Lebih selesa dan lebih sefahaman bila bersama rakan dari negara sendiri tanpa menafikan banyak lagi kelebihan 4 tahun bersama rakan - rakan dari pelbagai negara pelusuk dunia.

Madinah Munawwarah
10.22 pm

Kembali Bertatih


Assalamualaikum wrt,


Lama sungguh blog ni bersawang dan tak dibersihkan. Cuti panjang 3 bulan aku penuhi dengan sebaiknya sehingga tak sempat nak update blog ni. Banyak program yang telah aku lalui di Malaysia dan hari ini kembali aku dan sahabat - sahabat ke Madinah Munawwarah.


Lain sungguh perasaan kepulangan kali ini, gembira, sedih dan macam - macam lagi perasaan menyerbu. Tatkala pesawat mula melonjak meninggalkan tanah air, perasaan sayu mula menyesak hati. Namun ku kuatkan juga untuk meneruskan perjalanan ilmu di bumi Madinah. Jauh mata memandang ke bawah melihat pohon - pohon hijau yang aku tinggalkan, serta merta bayangan wajah - wajah mak dan ayah yang tersayang, adik - adik serta isteriku tercinta yang aku tinggalkan buat smentara waktu. Sememangnya mereka amat memahami dan selalu memberi ruang dan semangat untuk aku jadi yang terbaik.



Pesawat meluncur laju mencecah landasan di Lapangan Terbang Prince Muhammad, Madinah Munawwarah tepat jam 2 pagi. Aku mula memikirkan kitab - kitab, nota - nota yang akan aku habiskan dalam siri baki pengajianku di bumi berkat ini. Mudah - mudahan Allah memudahkan setiap urusan hambanya yang lemah ini dan memberikan kekuatan untuk menuntut ilmuNya di sini. Masih terasa kelibat Akh Syazwan di asrama, masih terasa kesedapan masakan Syazwan bila kami sama - sama memasak di rumah PPM. Tanpa disedari, sudah 5 tahun kami di sini dan kawan - kawan yang sudah tamat pengajian sedang menongkah alam pekerjaan dan tanggungjawab di tanah air.



Hanya tinggal 2 semester untuk aku habiskan di sini. Mudah - mudahan Allah memberikan hidayah dan petunjukNya kepadaku.



Madinah Munawwarah

3pm